HULU SELANGOR – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah motosikal lain di Jalan Batang Kali–Ulu Yam Bharu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mansor, Batang Kali, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Asri Mohd. Yunus berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.40 malam melibatkan dua buah motosikal yang datang dari arah yang sama.
Katanya, motosikal Honda RS yang ditunggang seorang remaja berusia 19 tahun melanggar belakang motosikal Yamaha Y110 milik mangsa ketika dalam perjalanan dari Rasa ke Ligamas.
“Mangsa wanita berusia 53 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas
“Penunggang lelaki tercampak ke tepi jalan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan otak serius (traumatic brain injury).
“Kedua-dua motosikal yang terlibat telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd. Asri menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan agar tampil membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.