GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C di perairan berhampiran Pulau Kendi, kelmarin selepas dipercayai melanggar syarat lesen.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, vesel tersebut ditahan di kawasan kurang dari 27.78 kilometer dari pantai iaitu di kedudukan 25.55 kilometer dari Pulau Kendi.
”Vesel ini didapati melanggar syarat lesen dengan melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan.
”Empat kru warga Myanmar berusia antara 23 hingga 42 tahun berada di atas bot berkenaan, dan kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dalam tempoh seminggu sejak 16 Januari lalu, empat vesel telah ditahan di perairan Pulau Pinang kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Sebanyak 12 kru termasuk kru asing kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata, operasi penguatkuasaan iaitu ops bersepadu Mutiara 1/2025, yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa minggu lalu turut membuahkan hasil.
“Seramai tujuh daripada 25 kru nelayan yang ditahan dalam operasi tersebut disahkan positif dadah hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan pada 16 Januari lalu,” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia komited untuk membanteras aktiviti jenayah di laut dan pelanggaran syarat perikanan.
“Kami menyeru komuniti nelayan untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat tentang sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan.
“Pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan demi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan bebas daripada jenayah,” katanya. -KOSMO! ONLINE