SHAH ALAM – Elemen kecuaian dan pelanggaran syarat lesen antara yang akan disiasat berhubung letupan kebakaran sebuah kilang kimia di di Taman Perindustrian Kapar Bestari, Klang dekat sini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, setakat pagi ini pihaknya masih menunggu kebenaran bomba bagi memasuki lokasi tersebut.
“Siasatan akan menjurus isu kecuaian atau terdapat pelanggaran syarat lesen yang dikeluarkan oleh JAS,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menyatakan hasil siasatan awal polis mendapati letupan tersebut berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di pekarangan sebuah kilang kimia.
“Terdapat kerosakan pada bangunan kilang tersebut dan kilang-kilang berhampiran.
“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat letupan itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE