SHAH ALAM – Kegiatan penipuan penukaran hak milik tanah di sebuah pejabat tanah di Klang dipercayai berlaku ketika proses penukaran sistem dalam talian Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS).
Pengarah PTGS, Datuk Dr. Yusri Zakaria berkata, siasatan pihaknya mendapati perbuatan tidak bermoral itu dilakukan antara Ogos dan November tahun lalu.
Katanya, pihaknya sudah memberikan keterangan serta bahan bukti kepada polis.
“Kami melihat kakitangan ini melakukan perbuatan tersebut semasa PTGS sedang melakukan penukaran sistem lama kepada sistem baharu, iaitu sistem e-Tanah (untuk melakukan penukaran hak milik tanah).
“Ini adalah satu tindakan tidak berintegriti yang dibuat kakitangan ini dan saya perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian jentera Low Loader dan Kawad Bulanan Penguatkuasaan Pentadbiran Tanah Negeri Selangor di Dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Yusri berkata, tujuh penjawat awam yang ditahan polis bagi membantu kes berkenaan telah dipindahkan ke bahagian lain yang tidak melibatkan pengurusan tanah. – KOSMO! ONLINE