WASHINGTON – Beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47, Donald Trump mengarahkan supaya Teluk Mexico dan Gunung Denali di negeri Alaska diberikan nama baharu, lapor akhbar New York Post semalam.
Teluk Mexico akan dinamakan semula sebagai Teluk Amerika, manakala gunung tertinggi di rantau Amerika Utara itu akan kembali dikenali sebagai Gunung McKinley.
Bekas Presiden AS, Barack Obama menukar nama gunung itu kepada Gunung Denali pada 2015.
“Trump memperbaharui tonggak ketamadunan Amerika,” demikian menurut arahan eksekutif Presiden AS yang tidak memerlukan kelulusan Kongres.
Setiausaha Dalam Negeri diarah untuk menukar nama itu sekali gus bermakna Teluk Amerika dan Gunung McKinley akan digunakan dalam komunikasi kerajaan persekutuan serta peta rasmi AS.
Setakat ini, tidak jelas sama ada perintah itu mewajibkan penggunaan nama baharu tersebut di sekolah atau dalam persekitaran bukan persekutuan.
Kerajaan AS secara rasmi memberi nama puncak setinggi 6,190 meter itu Gunung McKinley pada 1917 sebagai penghormatan kepada Presiden AS ke-25 daripada Parti Republikan, William McKinley yang terbunuh, 16 tahun sebelumnya.
McKinley menjadi inspirasi kepada Trump yang juga pemimpin Parti Republikan, baik dari segi dasar tarif dan perluasan wilayah AS selepas Perang Sepanyol-Amerika meletus.
Trump juga menyatakan akan menamakan semula Teluk Mexico kepada Teluk Amerika dalam sidang akhbar di Resort Mar-a-Lago, Florida awal bulan ini.
“Nama yang cantik dan ia sesuai,” kata Trump pada 7 Januari lalu. – AGENSI