GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan tiada berlaku isu penolakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) oleh ibu bapa dan waris murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi 2024/2025 yang diagihkan bermula 13 Januari lalu.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, kementerian telah menyalurkan BAP kepada setiap murid dan pelajar sebanyak RM150 menerusi dua kaedah pembayaran iaitu melalui serahan tunai kepada ibu bapa atau pengkreditan ke akaun bank murid atau ibu bapa.
Menurutnya, ini bagi memudahkan pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar sekali gus mengelak berlaku ketirisan berhubung pemberian bantuan persekolahan.
“Setakat ini isu penolakan (ibu bapa serah semula wang BAP kepada sekolah) tidak timbul. Sejak tahun lepas, apabila kita memberikan satu pendekatan dan arahan yang jelas kepada semula Jabatan Pendidikan Negeri maka, tiada isu besar yang berlaku.
“Saya ingat setakat ini, selepas seminggu (pengagiihan BAP) kebanyakan anak-anak kita sudah menerima bantuan awal.
“Jika ada timbul pun mungkin isu minimal yang dapat dikendalikan. Tak ada isu berkenaan dengan ketelusan dan juga pelaksanaan serta penyaluran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan ‘Smart Board’ yang disumbang daripada pihak swasta kepada 13 buah sekolah di Timur Laut melibatkan jumlah RM221,000 di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lachang di sini, petang tadi.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan.
Pada majlis tersebut, Kah Woh memberitahu, program tersebut merupakan inisiatif sumbangan daripada sektor swasta dan bukan swasta kepada sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan melalui Garis Panduan Pelaksanaan Sekolah Milik Masyarakat, Penglibatan Sektor Swasta dan Garis Panduan Penjanaan Dana Masyarakat atau Crowdfunding.
“KPM Komited dalam membantu meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan murid, selaras dengan hasrat Dasar Pendidikan Digital (DPD) untuk melahirkan murid yang fasih digital. -KOSMO! ONLINE