PETALING JAYA – Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) memfailkan saman terhadap syarikat penganjur acara, Hitman Solutions Live Sdn. Bhd.
MACP dalam kenyataan hari ini berkata, penganjur konsert tersebut didakwa telah melanggar akta hak cipta beberapa karya muzik dalam penganjuran konsertnya sebelum ini.
“Saman tersebut sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kes tersebut dijadualkan akan didengari pada April depan.
“Antara konsert tersebut adalah Bunkface 15 Years of Korang, Raisa Live in Malaysia, Ne-Yo Live in Malaysia (2023), Blue Heart & Soul Tour 2023 dan Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota,” katanya hari ini.
Bukan itu sahaja, MACP mendakwa Hitman Solutions juga setakat ini tidak memohon lesen yang diperlukan daripada badan tersebut untuk menganjurkan 13 konsert lain sepanjang tahun lalu.
Dalam pada itu, MACP menegaskan pihaknya akan terus membela dan mendapatkan keadilan bagi pihak pengkarya muzik tanah air.
“MACP diberi mandat mewakili sebagai pemegang hak komposer, penulis dan penerbit muzik di Malaysia.
“Tindakan undang-undang yang diambil adalah penting bagi menegakkan dan melindungi hak pengkarya tempatan
dan antarabangsa.
“MACP juga berdedikasi untuk melindungi hak ahlinya dan memastikan menerima pampasan yang adil kepada pengkarya tempatan untuk hasil kerja mereka,” katanya lagi.
Judul 13 konsert anjuran Hitman Solutions yang didakwa tidak memohon lesen daripada MACP termasuklah Jubin Nautiyal Live in Malaysia
Sanam Live in Malaysia, Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota (Pulau Pinang), Rizky Febian: Berona Day, Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota (Sabah), UNDRGROUND – Butterfingers, Hujan & Bunkface, Sum 41: Tour of the Setting Sun (The Final Tour), Incubus Live in Malaysia, DOLLA Re:Birth The Experience dan Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia.
Tidak ketinggalan, Bring Me The Horizon Live Featuring BABYMETAL, NE-YO: Live in Malaysia (2024) dan Arijit Singh Live in Malaysia. – KOSMO! ONLINE