KUALA NERANG – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini berkenan berangkat melancarkan Projek Penanaman Dua Juta Pokok di Kedah, termasuk di kawasan hutan terosot dan pernah diceroboh di negeri ini.
Program anjuran Jemaah Dato’ Negeri Kedah (JDNK) itu tercetus hasil daripada titah baginda sendiri yang mahu melihat ekosistem alam sekitar di negeri ini sentiasa terpelihara.
Menurut Naib Presiden I JDNK, Datuk Bakar Din, sebanyak 2.2 juta pokok disasarkan untuk ditanam sehingga 2030 sebagai manifestasi kepada jumlah 2.2 juta penduduk negeri ini.
“Program ini adalah hasil titah Sultan Kedah agar masyarakat di negeri ini, mengekalkan kelestarian alam sekitar. Justeru JDNK akan memainkan peranan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung isu ini.
“Terdapat tiga komponen utama yang akan diberi perhatian dengan salah satunya adalah penanaman semula kawasan hutan terosot atau yang pernah diceroboh. Selain itu tumpuan turut diberi kepada kawasan bandar agar laluan utama ditanam lebih banyak pokok bagi mewujudkan suasana kehijauan,” katanya ketika berucap pada program itu di Kompartmen 42 Hutan Simpan Pedu, dekat sini hari ini.
Dalam majlis itu, Sultan Sallehuddin turut berkenan menanam pokok tampoi sebelum menjadi individu pertama yang mendaftar dalam portal Jutaan Pokok yang dibangunkan bagi merekodkan jumlah pokok ditanam dalam projek tersebut.- KOSMO! ONLINE