PERKEMBANGAN teknologi sentiasa berlaku tanpa mengira waktu. Begitu juga dengan paparan elektronik yang dibangunkan daripada sistem elektromekanikal bagi membolehkan paparan teks dibuat sehingga mampu memaparkan grafik warna tiga dimensi (3D) gerak penuh.
Dahulu, paparan elektromagnet yang menggunakan gegelung solenoid (bertujuan menghasilkan medan magnet terkawal) digunakan untuk paparan teks.
Kemudian, berlaku peralihan kepada tiub sinar katod yang memberikan ciri tambahan iaitu paparan visual, sebelum dunia beralih kepada kristal cecair (LCD).
Seterusnya, perubahan paparan skrin bertukar kepada peranti keadaan pepejal seperti transistor filem nipis (TFT), diod pemancar cahaya (LED) dan diod pemancar cahaya organik (OLED).
Setelah itu, pelbagai transformasi berlaku terutamanya kemunculan transistor kesan medan logam oksida semikonduktor (MOSFET), cip litar bersepadu (IC), mikropemproses dan peranti mikroelektronik.
Transformasi tersebut telah membantu memberikan kualiti piksel lebih mantap sehingga membolehkan grafik paparan dan video definisi tinggi (HD) disiarkan.
Peralihan masa itu juga membuatkan pihak pengeluar saling berebut untuk mempamerkan kemampuan teknologi terkini untuk menambat hati pengguna.
Tidak terkecuali jenama popular dari Korea Selatan, LG yang memperkenalkan skrin futuristik dengan kemampuan boleh ditarik dan dipulas pada satu majlis di Seoul baru-baru ini.
Menerusi produk elektronik LG, skrin prototaip yang memiliki keupayaan memanjang dari 12 inci hingga 18 inci sambil mengekalkan 100 piksel per inci.
Kemunculan peranti itu dikatakan akan mencetuskan fenomena baharu terhadap landskap penggunaan peranti untuk generasi akan datang.
Bukan sahaja melibatkan telefon pintar, malah skrin dengan kemampuan fleksibel itu turut berpotensi digunakan sebagai skrin monitor kereta.
Menurut LG, pihaknya optimis dalam melaksanakan peningkatan kualiti teknologi terutama memberikan pengalaman tanpa batasan kepada pengguna.
Malah, transformasi skrin mampu lentur dan tahan lasak itu secara tidak langsung mampu menarik minat golongan ibu bapa, khususnya melibatkan keselamatan anak.
Jadi, ibu bapa tidak perlu memikirkan tentang kerosakan skrin serta mengelakkan cedera akibat permukaan skrin yang pecah.
Menurut jurucakap LG, panel tersebut dibuat daripada bahan yang sama digunakan dalam pembuatan kanta sentuh.
Malah, teknologi itu menjadikan produk terbabit sebagai peranti dengan tawaran paparan boleh regang pertama di dunia yang mampu berkembang sehingga 50 peratus seperti getah (rubber band) ditarik pulas.
Tahap tersebut merupakan kadar pemanjangan tertinggi dalam industri.
Paparan skrin bersaiz 12 inci boleh ditarik sehingga mencecah 18 inci sambil menawarkan sistem warna penuh, selain mengekalkan 100 piksel setiap inci di seluruh permukaan.
Menariknya, selain boleh ditarik skrin terbabit, ia juga mempunyai kemampuan dilipat dan digulung untuk disimpan di dalam poket atau ruang yang kecil.
“Ia bukan ciri yang paling konvensional, tetapi kami melihat paparan boleh regang sebagai salah satu cara inovasi baharu dalam bidang elektronik.
“Paparan boleh regang ini bukan sahaja nipis, tetapi ringan dan boleh melekat pada permukaan melengkung yang tidak sekata seperti pakaian serta kulit.
“Dengan sifat mobilitinya, paparan ini dijangka akan digunakan secara meluas dalam pelbagai industri,” jelasnya.
Dalam pada itu, LG yakin bahawa skrin boleh renggang mampu dijadikan sebagai panel paparan futuristik dalam kereta.
Selain itu, paparan tersebut boleh diguna pakai pada pakaian seragam bomba bagi memberikan maklumat masa nyata, sekali gus membantu anggota penyelamat untuk menyelamatkan mangsa dengan lebih cepat.
Ia juga boleh digunakan sebagai panel paparan automotif yang diregangkan ke dalam bentuk cembung.
Pada 2022, LG telah mempamerkan versi awal paparan elastik itu yang hanya boleh meningkat kepada 20 peratus saiz tambahan.
Sejak itu, syarikat tersebut sentiasa agresif berusaha untuk meningkatkan kebolehan regangan teknologi dengan membangunkan struktur reka bentuk pendawaian baharu untuk panel dan menaik taraf ‘substrat’ bahan silikon skrin yang turut digunakan dalam kanta sentuh.
“Kami menggunakan sumber cahaya mikro LED sehingga 40 mikrometer.
“Walaupun sifatnya seperti cecair, paparan 12 inci itu memiliki resolusi 100 piksel per inci (ppi) tinggi dan warna tiga warna asas (RGB) iaitu merah, hijau dan biru penuh. Ia juga agak tahan lasak,
“Ketahanan paparan skrin baharu itu kemudian diperkukuhkan bagi membolehkan regangan berulang kali lebih 10,000 kali, tetapi masih mengekalkan imej jelas,” tambah sumber itu.
Ujarnya, keadaan fizikal yang mudah dibawa itu dijangka akan memberi evolusi baharu kepada komputer riba dan tablet pada masa hadapan.
Paparan skrin tersebut juga dilihat mampu memberi impak positif kepada pekerja dan pelajar kerana mudah dibawa ke mana sahaja.
Selain itu, ia memiliki ciri-ciri mengagumkan iaitu keupayaan meregang, membengkok dan memutar.