PETALING JAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberikan bantuan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) kepada keluarga mangsa Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipukul sekumpulan individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman, Jumaat lalu.
JKM dalam kenyataan berkata, bantuan berkenaan dilaksanakan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kemaman bertujuan membantu keluarga mangsa menstabilkan emosi mereka yang terjejas akibat insiden tersebut.
“Melalui semakan (JKM), penama merupakan Pemegang Kad OKU Kategori Mental yang telah mendapat kelulusan Kad OKU pada 19 Mac 2023.
“Perkara ini adalah sangat tidak berperikemanusiaan dan berada di luar batas tatasusila kehidupan bermasyarakat yang diamalkan di negara ini,” katanya hari ini.
Ujarnya, JKM turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia atas tindakan pantas dalam menyiasat kes ini serta berharap agar keadilan dapat ditegakkan dengan pesalah dikenakan hukuman setimpal.
“JKM sekali lagi menzahirkan rasa simpati kepada mangsa dan akan terus memberikan sokongan kepada keluarga mangsa,” katanya.
Pada masa sama, JKM mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang bersolidariti dengan mangsa serta menunjukkan sifat prihatin terhadap golongan OKU.
“Sifat ihsan sebegini harus ditanam dalam diri setiap individu supaya tiada yang akan melakukan tindakan diluar batas kemanusiaan kepada sesiapapun di masa hadapan,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki OKU berusia 47 tahun dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan.
Insiden itu dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggang bapa lima anak tersebut terlanggar sebuah gerai sehingga menyebabkan makanan jualan tumpah ke atas jalan.
Susulan kejadian itu, pihak polis menahan enam individu berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. – KOSMO! ONLINE