fbpx

Penjawat awam disyaki seleweng wang sumbangan mualaf direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUSPEK (dua dari kiri) diiringi pegawai SPRM selepas mendapat perintah reman di Kompleks Mahkamah Kangar, hari ini.

KANGAR – Seorang penjawat awam sebuah agensi kerajaan negeri ini direman enam hari bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan wang sumbangan saudara baharu berjumlah RM132,000.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 28 tahun itu bermula hari ini hingga 26 Januari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, suspek yang berasal dari Kangar dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana sumbangan antara tahun 2022 hingga 2024.

“Suspek dipercayai mengemukakan hampir 50 dokumen palsu berkaitan sumbangan yang dikeluarkan oleh bank dan menerusi tunai untuk disalurkan kepada saudara baharu.

“Siasatan awal mendapati wang tersebut sepatutnya diberikan kepada penerima yang layak namun diseleweng oleh suspek untuk kepentingan peribadi,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, suspek ditahan selepas hadir di pejabat SPRM negeri pada pukul 2.30 petang semalam bagi memberi keterangan sebelum ditahan sekitar pukul 4.30 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai butiran palsu, mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Ghani mengesahkan penahanan suspek dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI