SHAH ALAM – Seorang pemilik syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen pekerjaan mengandungi butir matan palsu bernilai RM85,800 kepada agensi sebuah kementerian, empat tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Nazri Ahmad, 46, yang berkemeja putih membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Berdasarkan pertuduhan, dia sebagai penyedia latihan berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad didakwa memberi dokumen Unit Tuntutan Pembayaran bernilai RM85,800 menerusi emel.
Ia sebagai niat memperdayakan prinsipal yang mengandungi butir matan palsu iaitu tiada penawaran atau penerimaan pekerja seperti tercatat dalam Borang Perjanjian Pekerjaan dan tandatangan pada borang itu adalah palsu.
Perbuatan itu dilakukan di pejabat sebuah syarikat di sekitar Seri Kembangan pada 27 Februari 2021.
Justeru, Mohd. Nazri didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 (2) akta sama.
Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ezuain Farhana Ahmad menawarkan kos jaminan RM20,000 dan memohon penyerahan pasport tertuduh kepada mahkamah selain melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.
Peguam Syaheera Rosli yang mewakili Mohd. Nazri merayu pengurangan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan dua ibu bapa yang uzur di Kedah.
“Anak guam yang menetap di Seri Kembangan kini mengalami masalah kewangan dan perlu berulang alik ibu bapanya menjalani pemeriksaan di hospital.
“Selain itu, dia tiada rekod jenayah lampau dan memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses siasatan,” katanya.
Awang Kerisnada kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh mematuhi semua syarat pendakwaan termasuk tidak mengganggu saksi-saksi berkaitan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac depan. – KOSMO! ONLINE