IPOH – Pemandu bas ekspres yang dikesan melanggar peraturan jalan raya termasuk meludah ketika memandu akan diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi khas sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2025.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, pihaknya akan meletakkan pegawai untuk membuat penyamaran dalam bas ekspres bagi memastikan tiada pemandu melakukan kesalahan tersebut.
Katanya, kesalahan lain yang turut diberi perhatian adalah menggunakan telefon bimbit dan merokok ketika memandu selain tiada Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan tiada lesen memandu kompeten (CDL).
“Walaupun nampak macam biasa (meludah) namun ia sebenarnya menjadi satu kesalahan ketika memandu. Tingkah laku ini sebenarnya menjijikkan orang ramai.
“Sebagai pemandu, dia perlu bersedia dan sentiasa cergas semasa memandu demi keselamatan penumpang,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi khas sempena TBC 2025 di Jalan Tambun, di sini hari ini.
Menurut beliau, tugas penyamaran dalam bas dengan pegawai berpakaian biasa itu dijalankan sepanjang operasi berlangsung bermula 20 hingga 28 Januari dan 31 hingga 9 Februari.
Katanya, selain aktiviti penyamaran, pihaknya juga menguatkuasa pemeriksaan bas di depoh melibatkan empat terminal bas utama di negeri ini bagi memastikan kenderaan tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik dan layak untuk membawa penumpang.
“Selain itu, kita turut mengesan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemandu-pemandu kenderaan perdagangan terutamanya di kawasan kerap berlaku kemalangan.
“Anggota JPJ akan membuat permerhatian, seterusnya mengambil tindakan terhadap mereka yang memandu secara berbahaya sepanjang tempoh operasi ini dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE