JOHOR BAHRU – Seorang pelajar kolej wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengabaikan anak hingga menyebabkan kematian di Taman Scientex, Pasir Gudang, di sini minggu lalu.
Tertuduh, Nur Athirah Ramli, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Nur Athirah dituduh mengabaikan bayi perempuannya sehingga menyebabkan kematian pukul 7.15 pagi di Jalan Kijang, Taman Scientex pada 13 Januari lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Mengikut fakta kes, pelajar kolej itu menyedari dia hamil anak teman lelakinya dan mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan dengan memakan pil perancang.
Wanita itu melahirkan bayi yang cukup sifat walaupun tidak cukup bulan di rumah sewa di Taman Scientex. Wanita itu kemudian keluar bersama teman lelakinya meninggalkan bayinya seorang diri dalam bilik.
Wanita itu kemudian pulang ke rumah sewa dan mendapati bayi perempuan yang baru dilahirkan sudah tidak bernyawa. – KOSMO! ONLINE