fbpx

Pekerja pembersihan mengaku bersekongkol sindiket ‘scam online’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR FARALIANA (kiri) diiringi anggota polis di Kompleks Mahkamah Kangar, hari ini.

KANGAR – Seorang pekerja pembersihan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan bersekongkol dengan sindiket penipuan dalam talian melibatkan kerugian RM23,000

Tertuduh, Nor Faraliana Che Zakiar, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan pindahan wang RM20,000 dari akaun milik seorang wanita di sebuah bank di Kangar tanpa kuasa yang sah di sisi undang-undang pada kira-kira pukul 9.24 malam, 18 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengeluarkan wang sebanyak RM3,000 daripada akaun wanita sama di sebuah lagi bank antara pukul 9.40 hingga 9.41 malam, hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM150,000, atau penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Azira Aziz.

Dalam hujahnya, Tengku Ruqayyah memohon jaminan sebanyak RM20,000 dengan alasan kes penipuan dalam talian adalah serius dan semakin berleluasa.

Beliau turut menegaskan bahawa selepas pindaan akta di Parlimen, kesalahan tersebut kini dikategorikan sebagai kesalahan berat.

Walau bagaimanapun, Azira berhujah bahawa tertuduh telah mengaku salah dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.

Beliau turut memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan minimum memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan pendapatan RM650 sebulan, masih bujang serta menanggung ibu bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan tarikh 18 Februari untuk sebutan semula kes dan jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI