PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat izin untuk mendakwa seorang Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya berikutan disyaki terlibat rasuah melibatkan dua projek lebuh raya.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, unsur rasuah itu dikesan melibatkan Projek Penswastaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang bernilai lebih RM1 bilion selain Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam bernilai RM4.8 bilion.
“Setiap satu ini, SPRM telah mendapat izin untuk mendakwa COO syarikat itu dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Seorang lagi dijangka dituduh ialah pengurus projek syarikat swasta itu di mana izin dikeluarkan pada 23 Januari ini dengan cadangan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009,” katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM di sini tadi.
Sementara itu, berhubung perkembangan kes melibatkan pengurusan Human Resource Development Corporation (HRDC), Azam berkata, siasatan dijalankan melibatkan unsur jenayah yang berlaku.
Katanya, empat isu sedang disiasat SPRM ketika ini berdasarkan laporan audit yang dikeluarkan.
“Siasatan kita adalah siasatan jenayah bukan siasatan yang melibatkan hal-hal berkaitan dengan laporan audit. Laporan itu hanya sekadar untuk panduan kami.
“Tetapi dalam hal ini, kita melihat apakah unsur-unsur jenayah yang berlaku sama ada bawah Akta Pencegahan Rasuah 2008 atau bawah kanun keseksaan yang mungkin berlaku pecah amanah dan sebagainya,” katanya.
Azam berkata, pihaknya juga ingin memperbetulkan kenyataan dibuat pihaknya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam mesyuarat terdahulu yang mengatakan kes itu telah ditutup.
“Kes HRD Corp masih dalam siasatan kita dengan memberi tumpuan kepada pelaburan dibuat dengan sebuah syarikat.
“Selain itu, pegawai Bahagian Penyiasatan dan Tatakelola juga sedang menyiasat hubungan isu kelemahan sistem dan prosedur yang berlaku di HRD Corp,” katanya.
Jelas Azam, laporan berkaitannya akan disiapkan dengan melibatkan beberapa perkara sahaja selain tidak akan menyentuh unsur siasatan berkaitan hal jenayah. – KOSMO! ONLINE