PUTRAJAYA- Dua anak Tun Mahathir Mohamad iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani dilaporkan sudah mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana jumlahnya melebihi RM1.2 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, kedua individu terbabit sudah memenuhi permintaan pihaknya untuk mengisytiharkan aset termasuk saham dan sebagainya.
“Saya berpuas hati dengan keputusan itu, berhubung Tan Sri Mokhzani yang jumlah aset keseluruhan RM1 bilion, aset peribadi RM360 juta.
“Selain itu ada beberapa aset, pegangan saham dan liabiliti yang mereka tanggung.
“Begitu juga dengan Mirzan yang keseluruhannya RM246.2 juta (di mana) nilai peribadi RM120 juta ditolak daripada aset keseluruhan berkaitan saham, aset lain dan liabiliti mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.
Azam berkata, ketika ini, siasatan terhadap kedua-dua anak bekas Perdana Menteri itu juga masih diteruskan.
Sebelum ini, Mirzan dan Mokhzani telah diserahkan notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang menghendaki mereka mengisytiharkan semua aset milik mereka.
Pada masa sama, mereka turut mengeluarkan kenyataan media bagi memohon semua pihak agar bersabar dan memhami situasi mereka bagi mengumpulkan maklumat berkenaan aset yang dimiliki selama 43 tahun. – KOSMO! ONLINE.