fbpx

NHH perkukuh reputasi P. Pinang sebagai destinasi pelancongan perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (tiga dari kiri) dan Pengerusi NHH, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Mukriz (dua dari kiri) meninjau fasiliti perubatan di NHH, George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Northern Heart Hospital (NHH), yang merupakan hospital pakar jantung dan vaskular pertama di Pulau Pinang dan Wilayah Utara dijangka mampu memperkukuh reputasi negeri ini sebagai destinasi utama pelancongan perubatan.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, pembukaan hospital itu juga adalah satu langkah penting dalam menangani penyakit kardiovaskular yang menjadi punca utama kematian di Malaysia.

Katanya, dengan menggabungkan kepakaran perubatan terkini dengan layanan mesra yang terkenal di negeri ini, NHH menarik pesakit dari seluruh rantau ini, mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab penjagaan kesihatan di Asia Tenggara.

“Hospital ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan Pulau Pinang dalam menyediakan rawatan kepada kes jantung yang kompleks, tetapi juga memperkukuh reputasi negeri ini sebagai destinasi utama pelancongan perubatan.

“Dengan adanya NHH, sektor pelancongan perubatan dijangka terus berkembang, memenuhi permintaan tinggi daripada pesakit serantau seperti dari Indonesia, Singapura, dan Thailand,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian NHH, di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif NHH, Kelen Leong, hospital berkenaan dilengkapi dengan Dewan Bedah Hibrid pertama di Wilayah Utara, serta teknologi diagnostik dan rawatan invasif minimum.

Katanya, hospital tersebut menekankan pendekatan kerjasama pasukan melibatkan pakar kardiologi, pakar bedah, dan pakar pemulihan untuk menyediakan rawatan peribadi kepada pesakit.

“Hospital ini menyediakan penjagaan berkualiti tinggi kepada pesakit tempatan dan antarabangsa melalui model unik, yang mana pakar turut menjadi rakan kongsi hospital.

“Sejak pra-pelancaran pada Jun 2024, NHH telah memberi perkhidmatan kepada lebih 14,000 pesakit.

“Hospital ini juga menyokong Kerjasama Awam-Swasta (PPP) di bawah ProtectHealth, iaitu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI