IPOH – Sebuah motosikal jenis Modenas Kriss disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas pemeriksaan dijalankan mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan itu tidak diperbaharui sejak 11 tahun lalu.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, motosikal ditunggang lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pada pukul 7 pagi menerusi operasi khas motosikal sempena Tahun Baharu Cina (TBC) di Jalan Tambun dekat sini.
Katanya, selain tiada perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM), penunggang motosikal berkenaan juga didapati tidak memiliki lesen memandu.
“Cukai jalan dan insurans motosikal ini tidak diperbaharui sejak 2014. Sebelum ini mungkin dia boleh mengelak dari sekatan jalan raya tapi hari ini akhirnya tertangkap.
“Bagi saya ini merupakan satu contoh sikap tidak bertanggungjawab oleh pemilik kenderaan. Pemeriksaan lanjut juga mendapati motosikal tersebut tidak mempunyai cermin sisi,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi tersebut di sini hari ini.
Menurut beliau, selain motosikal berkenaan, tindakan sita turut dikenakan terhadap 20 motosikal lain selepas mendapati melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, sebanyak 325 Notis JPJ (P)22 juga dikeluarkan sepanjang operasi tersebut dijalankan hasil pemeriksaan terhadap 1,025 kenderaan. – KOSMO! ONLINE