fbpx

‘Mimpi jadi kenyataan’ – Tomok, Nana hiburkan 600 peminat di tengah lautan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tomok dan Nana (kiri) bergabung menerusi persembahan eksklusif Live Music @ Sea di atas kapal persiaran, Genting Dream.

SINGAPURA – Bertempat di Zodiac Theater atas kapal persiaran mewah, Genting Dream, dua penyanyi Tomok dan Siti Nordiana berjaya menghiburkan lebih 600 peminat menerusi persembahan eksklusif Live Music @ Sea, semalam.

Menerusi persembahan terbabit yang disifatkan sebagai ‘pemanas badan’ menjelang konsert Tomok & Siti Nordiana, Memori Mungkin Berulang 1 Februari depan, kedua-dua penyanyi tersebut mengukir senyuman di bibir peminat dengan himpunan lagu nostalgia masing-masing. 

Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail mendendangkan lagu-lagu popularnya termasuklah Sejarah Mungkin Berulang, Meraung dan Hanya Tinggal Sejarah. Tidak ketinggalan, vokalis kumpulan Newboyz itu sempat menggamatkan pentas dengan medley lagu saduran C.I.N.TA dan Bahalol (dendangan asal XPDC). 

Terdahulu, Siti Nordiana yang mesra disapa sebagai Nana memanaskan pentas dengan dendangan lagu-lagu popularnya termasuklah Cinta Hanya Sandaran, Hatiku Milikmu, Angkara dan Terus Mencintai. Nana turut mendendangkan lagu Inggeris nyanyian asal Britney Spears berjudul Baby One More Time. 

“Sejujurnya, saya tak jangka persembahan ini jadi besar tapi tengok menghampiri full house juga. Tenaga daripada audiens buat saya terkejut. Alhamdulillah, kita dapat respons yang baik daripada mereka yang hadir. 

“Pengalaman pertama buat persembahan atas kapal persiaran yang besar di depan ramai orang yang hadir membuatkan saya betul-betul gembira,” kata Tomok. 

Sementara itu, Nana berkata, berpeluang mengadakan persembahan di atas kapal Genting Dream bagaikan impian yang akhirnya menjadi satu kenyataan. 

“Saya pernah naik kapal ini tetapi sebagai penonton di Zodiac Theater tapi kali ini berbeza sebab dapat buat persembahan. Macam impian jadi kenyataan sebab dapat ‘perform’ di tengah lautan. 

“Macam sesuatu yang ‘rare’ (tak pernah dibuat) sebelum ini. Saya sendiri tak sangka sambutan daripada peminat sangat menggalakkan. 

“Pada mulanya agak risau juga sebab yang datang daripada pelbagai bangsa. Tapi alhamdulillah, mereka ‘faham’ lagu-lagu leman saya dan Tomok,” kata Nana. 

Pada persembahan sama itu juga, Tomok dan Nana buat pertama kalinya berduet menyanyikan lagu malar hijau, Memori Berkasih (lagu duet Nana bersama Allahyarham Achik Spin) selain mendendangkan lagu terbaharu mereka, Memori Mungkin Berulang. 

Selain menyaksikan persembahan istimewa berkenaan, peminat juga menikmati pengalaman percutian yang menggabungkan pelayaran dua malam bermula di Singapura menuju Melaka pada 19 hingga 21 Januari lalu di atas kapal persiaran, Genting Dream. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI