KOTA BHARU – Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa media arus perdana perlu diutamakan untuk dijadikan rujukan kepada setiap peringkat masyarakat berbanding media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pengguna media sosial perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan berita yang disampaikan di media sosial.
Menurutnya, perbezaan utama antara media arus perdana dan media sosial adalah kaedah penyampaian berita yang sudah mendapat pengesahan pelbagai pihak.
“Wartawan (media arus perdana) mempunyai banyak pengalaman dan boleh membuat pengesahan sebelum menghantar berita yang sahih.
“Saya berpandangan, media arus perdana perlu diutamakan dan bukan media sosial. Jadi, semua maklumat yang diterima perlu melalui proses rasmi seperti yang ada di media arus perdana,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sarapan Pagi Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Ayang Cafe di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi memberitahu, sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membuat penambahbaikan dengan menambah kemudahan Chatbot pada portal sebenarnya.my dalam usaha untuk memerangi penyebaran berita palsu.
Menurutnya, Chatbox itu yang dipacukan oleh kecerdasan buatan (AI) dinportal tersebut memberi kemudahan kepada semua pengguna untuk menyemak maklumat sama ada sahih atau sebaliknya.
“Buat masa ini, Chatbox itu hanya mampu memproses maklumat dalam bentuks teks atau berita. Saya sudah lihat versi beta (percubaan) Chatbox itu dan ia akan dilancarkan dalam masa terdekat.
“Segala maklumat berasaskan teks yang diperoleh menerusi WhatsApp boleh dihantar ke Chatbox itu dan sistem AI akan membuat pengesahan sama ada berita itu sahih atau tidak,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah meminta pihak MCMC meneliti dan menambah baik fungsi Chatbox itu agar ia boleh memproses maklumat yang berkait dengan video.
Menurutnya, ini kerana, banyak video yang berlegar-legar di media sosial, namun tiada sebarang pengesahan mengenai kesahihannya. – KOSMO! ONLINE