KOTA BHARU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memohon untuk menurunkan sebanyak 18,785 kandungan di pelbagai platform media sosial yang didapati melanggar undang-undang dalam tempoh tiga minggu pada tahun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, 67 peratus kandungan diminta untuk diturunkan di Facebook, 18 peratus di TikTok, YouTube dengan 13 peratus manakala selebihnya platform media sosial yang lain bermula 1 Januari hingga hari ini.
Menurutnya, kandungan yang paling banyak diturunkan adalah perjudian dalam talian dan penipuan (scam) dengan 84 peratus di kesemua platform media sosial.
“Selain itu, lima peratus kandungan melibatkan buli siber dimohon oleh MCMC untuk diturunkan, empat peratus iklan produk perkhidmatan yang tidak dibenarkan manakala selebihnya lain-lain kesalahan.
“Kita dapati perjudian dalam talian dan scam menjadi kesalahan yang paling banyak dilakukan di pelbagai platform media sosial sepanjanh tempoh tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, walaupun pihak MCMC sudah bekerjasama baik dengan platform media sosial, pihak terbabit bagaimanapun masih membenarkan kegiatan jenayah secara dalam talian untuk dijalankan.
Menurutnya, justeru, kerajaan akan menyekat terus kandungan tertentu di semua media sosial selepas Perlesenan Perkhidmatan Pesanan Internet dan Media Sosial dilaksanakan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE