JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 36 tahun kerugian lebih setengah juta selepas terpengaruh dengan ajakan wanita dikenali sebagai ‘Luna’ untuk melabur dalam produk kecantikan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu, semalam.
Menurut beliau, mangsa mengenali suspek selepas menerima mesej melalui Instagram pada 9 Disember lalu.
“Mangsa tertarik dengan pelaburan tersebut sebelum menghubungi wanita terbabit dan diberikan penerangan mengenai skim yang menawarkan keuntungan 10 peratus daripada modal dikeluarkan.
“Mangsa membuat 41 transaksi kepada 19 akaun bank sejak 19 Disember sehingga Jumaat lalu yang berjumlah RM553,095,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan. -KOSMO! ONLINE