KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita negara, K. Letshanaa memulakan misi sulung musim ini dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan pertama Kejohanan Badminton Indonesia Masters berlangsung di Jakarta.
Pada aksi kelayakan di Istora Senayan hari ini, pemain No. 59 dunia itu cuma mengambil masa 34 minit untuk menyingkirkan Amalie Schulz dari Denmark dengan keputusan straight set 21-14, 21-16.
Kemenangan itu memastikan dia layak ke pusingan pertama dan dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke peringkat seterusnya apabila bertemu pemain Ukraine, Polina Buhrova.
Jurulatih perseorangan wanita negara, Jeffer Rosobin berkata, Letshanaa menampilkan aksi cukup baik, namun belum mencapai tahap sebenar kerana ia adalah perlawanan pertamanya musim ini.
“Saya lihat prestasinya baik tetapi fokus belum berada pada tahap terbaik kerana ini adalah perlawanan pertama Letshanaa. Memang ada peluang (menang pusingan pertama) jika bermain lebih tenang.
“Apa yang boleh diperbaiki pada perlawanan akan datang dari segi fokus selain cuba mengekalkan rentak konsisten dalam permainannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Minggu lalu, kem perseorangan wanita negara menjadi perhatian apabila Pengarah Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky secara terbuka mendedahkan beberapa pemain kerap merungut dalam latihan.
Bagaimanapun, kritikan itu tidak mematahkan semangat Letshanaa yang melaungkan keazaman untuk menampilkan aksi lebih baik, ditambah pula dengan kehadiran ketua jurulatih perseorangan, Kenneth Jonassen.
Aksi di Indonesia Masters boleh dianggap sebagai peluang terbaik buat pemain berusia 22 tahun itu membuktikan kemampuan dengan mencabar pemain-pemain negara lain. – KOSMO! ONLINE