PUTRAJAYA- Seorang lelaki berusia 30-an lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di atas jambatan di Kampung Sungai Buah Luar, Dengkil semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Negeri Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.35 pagi sebelum menggerakan pasukan operasi ke lokasi kejadian.
“Mangsa berjaya ditemui Pasukan Penyelamat Di Air pada pukul 4.06 petang selepas operasi mencari dilakukan dengan teknik ‘searching surface’ menggunakan bot dan pencarian di tebing sungai.
“Jarak penemuan mayat dari tempat mangsa terjatuh dan ditemui dalam anggaran lapan meter,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Jelasnya, pihak waris telah membuat pengesahan dan mengesahkan mangsa adalah ahli keluarga mereka.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE