TAVULLIA, Itali – Valentino Rossi dilaporkan berusaha membawa bintang muda Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Pedro Acosta untuk menyertai pasukan VR46 secepat mungkin.
Spekulasi itu timbul selepas pertemuan mereka pada perlumbaan 100km of Champions di Tavullia, Itali hujung minggu lalu.
Perlumbaan tersebut bukan kali pertama Acosta berkunjung ke kediaman Rossi tetapi kali ini kehadiran juara Moto2 edisi 2023 itu sedikit berbeza kerana ia melibat kan perbincangan masa depannya dalam saingan MotoGP.
Acosta menampilkan aksi luar biasa sewaktu penampilan sulung di pentas MotoGP musim ini apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan dan berada di pentas podium sebanyak lima kali.
Bagaimanapun, Acosta yang dipanggil menyertai pasukan utama KTM bersama Brad Binder berada dalam situasi tidak menentu selepas KTM kini menghadapi masalah kewangan besar dengan bebanan hutang sekitar €1.8 bilion (RM8.34 bilion).
Meskipun KTM mengatakan program perlumbaan mereka tidak akan terjejas, namun situasi itu secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada masa depan Acosta bersama pasukan itu.
Difahamkan, Rossi memiliki tawaran menarik buat Acosta memandangkan VR46 telah menjadi pasukan satelit utama Ducati, menggantikan Pramac yang berpindah ke Yamaha.
Musim ini, VR46 akan menerima satu jentera Ducati yang bakal digunakan oleh Fabio di Giannantonio sementara Franco Morbidelli pula bakal menggunakan spesifikasi Ducati tahun lalu.
Jika Acosta menyertai VR46 pada masa hadapan, dia berpeluang mendapat jentera terbaik di MotoGP.
Namun, perpindahan itu hanya boleh berlaku seawal tahun depan kerana Acosta terikat kontrak jangka panjang bersama KTM. – AGENSI