MANCHESTER – Manchester City mencipta sejarah dengan menandatangani pemain Uzbekistan pertama di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL), Abdukodir Khusanov dari kelab Ligue 1, Lens.
Bek tengah berusia 20 tahun itu menyertai skuad kendalian Pep Guardiola dengan nilai perpindahan £33.6 juta (RM184.89 juta) menerusi kontrak empat tahun setengah.
Khusanov yang mempamerkan aksi cemerlang bersama Lens musim ini, telah membuat 13 penampilan liga dengan 11 daripadanya sebagai pemain kesebelasan utama.
Dia turut memiliki kepantasan larian yang mencecah 37 kilometer sejam iaitu hampir menyamai rekod dunia Usain Bolt (37.58 km/j) sekali gus menjadikan pemain muda itu aset berharga buat City.
“Untuk seorang pertahanan muda, Abdukodir (Khusanov) cukup cerdas, kuat, agresif dan sangat pantas,” kata City dalam satu kenyataan rasmi.
Khusanov menyertai Lens pada 2023 dari kelab Belarus, Energetik-BGU Minsk dan berjaya memecah dominasi pertahanan yang sudah mantap di Lens, termasuk nama-nama besar seperti Jonathan Gradit, Kevin Danso dan Facundo Medina.
Lens turut mengiktiraf bakat besar Khusanov dengan menyimpan jersi yang ditandatanganinya ke dalam koleksi bersejarah kelab iaitu satu penghormatan hanya diberikan kepada pemain terbaik pernah melalui kelab itu.
Khusanov akan menyarung jersi nombor 45 bersama City, sama dipakai ketika dia mencipta nama di Energetik-BGU Minsk dan perpindahan itu bukan sahaja membuka peluang lebih besar buat dirinya tetapi turut mencatat sejarah baharu Uzbekistan. – AGENSI