SUBANG JAYA – Laporan ESG 2.0 Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) mendedahkan peningkatan kesedaran inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak enam kali ganda dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Edisi kedua laporan tinjauan ESG tahunan itu yang dilancarkan pada hari ini, bertajuk ‘The Path to Sustainable Impact Sectoral Insights of Malaysian SMEs’ itu melaporkan, kadar kesedaran telah melonjak daripada 14 peratus kepada 80 peratus sejak dua tahun lalu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penerbitan laporan itu amat dialu-alukan dan tepat pada masanya memandangkan Malaysia menyandang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
“PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi serta agenda ESG negara. Usaha Alliance Bank dengan kerjasama rakan kongsi pengetahuan dan rakan kongsi sokongan penting dalam mengukuhkan matlamat ESG negara.
“Laporan ini menjadi sumber penting dengan memberikan pandangan praktikal dan panduan strategik untuk membantu PKS mengurus risiko ESG dengan berkesan dan kompetitif di peringkat tempatan dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir melancarkan Laporan ESG 2.0 dan Simposium SME ESG START 2025 yang diadakan di Monash University Malaysia, di sini.
Laporan berkenaan dilancarkan dengan kerjasama Monash University Malaysia dan Zurich Malaysia sebagai rakan kongsi pengetahuan, selain UN Global Compact Network Malaysia & Brunei, SME Corporation Malaysia, serta INCEIF University sebagai rakan kongsi sokongan.
Antara penemuan utama laporan ESG 2.0 ialah peningkatan penggunaan ESG daripada PKS sebanyak 60 peratus, berbanding 28 peratus dalam ESG 1.0 yang didahului oleh sektor pembuatan Alliance Bank.
ESG juga didapati berperanan sebagai penggalak utama, yang mana 53 peratus dan 51 peratus daripada pengguna ESG masing-masing mengatakan penjimatan kos dan permintaan pasaran sebagai pemacu utama, dengan ‘inovasi’ kini disebut sebagai tiga sebab utama keuntungan.
Laporan itu turut menyatakan manfaat penggunaan ESG dengan 38 peratus daripada PKS yang menggabungkan ESG dalam operasi mencapai peningkatan hasil melebihi 51 peratus, manakala 24 peratus lagi mencapai penjimatan kos melebihi 51 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, pihaknya komited memperjuangkan penerimaan ESG dengan memperkasakan PKS negara melalui pendekatan 3A iaitu Advocacy (advokasi), Advice (nasihat) dan Answers (jawapan).
“Edisi kedua tinjauan ESG tahunan ini menawarkan pandangan lebih mendalam tentang arah aliran baharu muncul dan cabaran sektor secara khusus, sambil mengenal pasti bidang untuk pertumbuhan dan penambahbaikan.
“Bersama-sama dengan rakan kongsi pengetahuan, kami menyediakan garis panduan ESG yang jelas dan mudah diakses untuk menyokong PKS dalam perjalanan ESG mereka, selaras dengan usaha kami untuk menjadi The Bank For Life,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE