KOTA BHARU – Kes seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental yang dipukul sekumpulan individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai di Kemaman, Terengganu pada Jumaat lalu diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan mengambil pendekatan dengan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes melibatkan OKU yang dipukul oleh orang ramai tidak sepatutnya berlaku sehingga ia tular di media sosial.
“Banyak pihak yang mudah menghukum dengan menulis pelbagai dakwaan di media sosial. Ia seolah-olah sesuatu hukuman itu boleh diswastakan apabila semua pihak boleh berbuat demikian.
“Saya amat kesal dengan kejadian yang berlaku. Jika pihak polis mendapati ada kesalahan, kita serahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk membawa kes tersebut ke peringkat mahkamah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sarapan Pagi Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Ayang Cafe di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, semua pihak tidak boleh menghukum atau terus bertindak memukul dalam apa jua keadaan yang berlaku.
Menurutnya, pihak yang terlibat tidak boleh mengambil keputusan sendiri dan sepatutnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat sebarang tindakan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang lelaki mental itu telah dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan Pasar Tani Padang Astaka, Chukai pada Jumaat lalu.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi disebabkan rasa tidak puas hati selepas motosikal ditunggangnya dikatakan terlanggar sebuah gerai di pasar tani terbabit. – KOSMO! ONLINE