fbpx

Kastam rampas minuman keras, ‘energy drink’ RM1.67 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norlela menunjukkan minuman keras yang dirampas pada sidang akhbar di Kompleks Kastam hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melumpuhkan kegiatan penyeludupan minuman keras dan dagangan kontena berduti berjumlah RM1.67 juta dalam tiga serbuan di Selangor baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata, seramai tiga lelaki China dan seorang lelaki Myanmar berusia 30 hingga 45 tahun ditahan disyaki terlibat dengan sindiket terbabit.

Menurutnya, ketiga-tiga serbuan dilaksanakan pasukan Operasi dan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

“Serbuan pertama pada pukul 11.30 pagi, 9 Januari membabitkan sebuah gudang di kawasan perindustrian Balakong.

“Kita menemukan 2,488 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM157,716 dengan anggaran nilai cukai dan duti RM241,000,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam, di sini hari ini.

Menurut Norlela, serbuan kedua dijalankan pada pukul 1.30 tengah hari di sebuah gudang persendirian di Seri Kembangan dan merampas 7,804 liter minuman keras bernilai RM310,680 dengan nilai duti RM717,450.

“Kita percaya dua premis ini mempunyai kaitan kerana menggunakan modus operandi sama dengan menyewa gudang RM6,500 sebulan bagi menyimpan bekalan sebelum diedar ke pasaran tampatan.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak awal Disember lalu berdasarkan tarikh sewaan gudang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Norlela berkata, pihaknya mematahkan cubaan membawa masuk produk minuman tenaga berduti melalui penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang.

Kata Norlela, serbuan pukul 11.45 pagi itu menemukan 24,600 liter produk disyaki minuman tenaga yang mengandungi gula dengan anggaran nilai RM172,200.

“Siasatan awal mendapati dagangan diikrarkan menggunakan kod tarif minuman tidak bergula bagi mengelak cukai dan duti dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Keseluruhan nilai rampasan ketiga-tiga serbuan melibatkan 34,892 liter minuman keras dan tenaga dianggarkan bernilai RM1,678,504,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI