KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap insiden lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman pada Jumaat lalu tidak berulang lagi dan menjadi pengajaran buat semua.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, sikap segelintir individu yang tergamak memukul OKU di khalayak ramai sementara yang lain pula hanya melihatnya amat merisaukan Anwar.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Anwar) tak nak (insiden) itu mencerminkan masyarakat kita.
“Kiranya kerana setitik nila, rosak susu sebelanga. Itu tidak menggambarkan masyarakat Terengganu, hanya segelintir yang tidak mempunyai kesabaran,” katanya selepas menziarahi mangsa, Ahmad Nor Faizan Jusoh, 47, di Wad Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Beliau turut menyantuni isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, dan anak-anaknya.
Azman berkata, Pejabat Perdana Menteri menyerahkan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melengkapkan siasatan kes tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Ahmad Nor Faizan atau Paijang dilihat sudah semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar wad dalam tempoh terdekat.
“Isterinya (Faridah) nampak gembira dapat bertemu suaminya dan mereka berborak bersama-sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE.