PETALING JAYA – “Ini definisi manusia pemalas. Tong sampah tak sampai satu meter pun malas nak angkat sampah sendiri dan buang”.
Itulah teguran yang dibuat rata-rata netizen apabila melihat gambar memaparkan keadaan meja di sebuah taman awam di ibu kota penuh dengan sampah bekas makanan serta minuman.
Lebih menarik perhatian, apabila terdapat sebuah tong sampah yang berada dekat dengan meja tersebut, namun sikap malas para pengunjung sanggup meninggalkan sampah-sampah terbabit terbiar di atas meja.
Gambar yang tular di Facebook dan laman X itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen dan kebanyakan mereka mengecam sikap pengunjung yang tidak mempunyai kesedaran sivik dalam menjaga kebersihan taman awam.
“Ini jenis dekat rumah sendiri pun lepas makan tak reti kemas. Harap orang lain yang angkat dan buang sampah-sampah tersebut,” kata Haziq Idham.
“Malas betul, kau baling pun boleh masuk tong sampah depan meja. Inikah rakyat merdeka?,” soal Kazzeq.
“Ini bukan kedai makan lepas makan ada orang kutip. Dasar pengotor, pemalas,” kata Ashh Helly. – KOSMO! ONLINE