KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Indonesia Masters selepas menyingkirkan pilihan ketiga dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Istoran Senayan, Jakarta sebentar tadi, gandingan No.20 dunia itu mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-19 dalam tempoh 30 minit sahaja.
Lebih manis, ia merupakan kemenangan kedua Arif-Roy King ke atas pasangan No.7 dunia itu dalam dua perlawanan dengan pertemuan terakhir pada Malaysia Masters tahun lalu turut memihak kepada beregu negara.
Menjelang pusingan kedua esok, mereka akan menantikan pemenang perlawanan antara satu lagi beregu Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi dan pasangan legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Terdahulu, beberapa lagi wakil negara turut mara ke pusingan kedua, termasuk beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing serta dua beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong.
Pei Kee-Mei Xing menewaskan Sung Suo Yun-Yu Chien Hui dari Taiwan 21-16, 22-20 manakala Wei Chong-Kai Wun menang 21-19, 21-14 ke atas beregu China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun dalam tempoh 29 minit.
Sementara itu, Hang Yee-Eng Cheong menyingkirkan wakil tuan rumah, Rahmat Hidayat-Yeremia Rambitan menerusi aksi tiga set 21-14, 19-21, 21-18. – KOSMO! ONLINE