fbpx

Hatrik Faizal belasah kelab China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL (kiri) memainkan watak penting menewaskan Liaoning 8-3 pada aksi MHL semalam.- MHC

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) terus menunjukkan taring apabila meratah kelab China, Liaoning 8-3 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.

Kemenangan bergaya itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan THT di puncak carta dengan rekod sempurna enam kemenangan berturut-turut, malah meletakkan mereka di landasan terbaik untuk menjulang trofi MHL musim ini.

Dalam aksi tersebut, penyerang sensasi, Faizal Saari membuktikan ketajamannya di depan gawang apabila berjaya mencetak hatrik dalam aksi itu.

“Tiga mata dalam setiap perlawanan sangat penting buat kami. Pengalaman edisi lepas mengajar kami memanfaatkan setiap perlawanan.

“Kini, kami lebih fokus kepada mengumpul mata dan memastikan perbezaan jaringan tetap berpihak kepada kami,” kata Faizal.

THT memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan apabila Andywalfian Jeffreynus membuka tirai jaringan pada minit ke-11 sebelum Fitri Saari meledak gol kedua.

Tuan rumah terus mengganas dengan dua gol tambahan daripada pemain import mereka, Lee Nam Yong (Korea Selatan) dan Samkelo Mvimbi (Afrika Selatan) yang masing-masing menyumbang pada minit ke-30 serta 31.

Faizal kemudian membuktikan statusnya sebagai pemain terbaik kebangsaan apabila meledak dua gol dalam masa kurang dua minit menjadikan kedudukan selesa 6-0 pada minit ke-41 dan 42.

Liaoning cuba memberi tentangan apabila menyumbat tiga gol berturut-turut menerusi Yang Peng pada minit ke-42, Wang Tao (m-47) dan Zhang Zhongqiang (m-52).

Bagaimanapun, kebangkitan itu tidak bertahan lama apabila Fitri kembali menambah jaringan untuk THT pada minit ke-53, sebelum Faizal menyempurnakan hatriknya seminit kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI