WASHINGTON – Aksi Donald Trump dan isteri, Melania mencuri perhatian orang ramai apabila beliau gagal mencium pipi Melania disebabkan saiz topinya yang besar, lapor portal berita Merah Putih.com hari ini.
Detik janggal itu berlaku menjelang majlis angkat sumpah Trump sebagai Presiden AS ke-47 di Washington semalam.
Ramai peminat fesyen memuji penampilan anggun Melania dengan menyebut Wanita Pertama itu sebagai ‘memukau’.
Namun, aksi spontan Trump dilihat janggal dengan ramai mendakwa bahawa Melania sengaja memakai topi besar bagi mengelak daripada dicium oleh suaminya.
“Penggemar-penggemar fesyen memuji penampilan anggun Melania, namun ada yang bergurau dengan menyamakannya dengan watak animasi popular, Carmen Sandiego.
“Ada juga yang bertanya sama ada beliau sengaja menjarakkan diri dengan suaminya?” demikian menurut laporan agensi berita Reuters.
Topi rekaan Eric Javits itu turut dikatakan menyembunyikan mata Melania daripada pandangan umum hampir sepanjang acara angkat sumpah berlangsung.
Fesyen Melania kerap menjadi perhatian ramai sebelum ini.
Meskipun topi mungkin hanya satu aksesori, namun pada hari Presiden mengangkat sumpah, ia mengundang seribu tafsiran. – AGENSI