TAIPEI – Gempa bumi kuat bermagnitud 6.0 menggegarkan Taiwan hari ini, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, dengan menyebabkan 27 orang cedera serta mencetuskan kejadian tanah runtuh dan siling kediaman ranap.
Pusat gempa dikesan 12 kilometer ke utara Yujing yang merupakan daerah penanaman mangga di selatan Taiwan.
Pasukan bomba menyelamatkan tiga orang termasuk seorang kanak-kanak yang terperangkap di bawah runtuhan di daerah berdekatan, Nanxi, demikian menurut rakaman video kejadian yang disahkan oleh AFP.
Di tempat-tempat lain, pihak berkuasa berkata, seorang mangsa cedera terkena serpihan yang jatuh, manakala dua orang diselamatkan dari dalam lif.
Lebih 50 gegaran susulan turut direkodkan, kata Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan yang melaporkan gempa utama bermagnitud 6.4.
“Siling sebilangan kediaman runtuh dan jalan-jalan ditimbus batu yang jatuh serta tanah runtuh,” kata Agensi Bomba Nasional.
Bagaimanapun, menurutnya, tiada kerosakan besar berlaku akibat gempa itu yang mencederakan seramai 27 orang. – AFP