PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya sekali lagi dirawat di sebuah pusat perubatan sejak enam hari selepas dikesan mengalami kadar bacaan hormon kortisol dan vitamin D dalam badan yang rendah.
Menurut Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, masalah kesihatan tersebut bagaimanapun dapat dirawat dengan bantuan ubat-ubatan.
“Hari keenam, terus berjuang. Doktor pun belum dapat diagnos lagi penyakit saya untuk kali ini. Cuma yang pasti berkaitan tulang leher, tulang belakang dan artritis (radang sendir).
“Saya juga mengalami hormon kortisol, vitamin D dan hemoglobin (darah) rendah. Tetapi masalah ini dapat dirawat dengan ubat yang ada, Alhamdulillah,” katanya dalam Instagram.
Dalam masa sama, Zara memohon orang ramai dapat mendoakan kesihatannya.
“Sebelum ini saya dah jalani pembedahan buang fibroid dan cyst.
“Saya harap penerangan ringkas ini dapat difahami dengan mudah oleh anda semua.
“Doakan kesembuhan saya yang nampak sihat luaran tapi sakit dalaman ini ya,” katanya lagi.
Menerusi perkongsian sama, Zara turut memuat naik fotonya berada di atas katil hospital.
Sementara dalam ruangan komen, rata-rata netizen berharap aktres tersebut sembuh dan dijauhi daripada sebarang penyakit serius.
Sebelum ini, pelakon drama Love You Mr. Arrogant itu menjalani pembedahan membuang beberapa ketumbuhan cyst dan fibroid pada 31 Mei tahun lalu. – KOSMO! ONLINE