PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) di Bangunan Europa di Brussels, semalam.
Menurut Anwar, setibanya di institusi Majlis Eropah dan Majlis Kesatuan Eropah sempena lawatan kerja dua hari ke Belgium, beliau turut meluangkan masa bertemu dengan Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan/Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Kaja Kallas.
Pertemuan tersebut dimanfaatkan Anwar untuk bertukar pandangan mengenai soal demokrasi, perihal kemasyarakatan, pelaburan, perdagangan dan kecerdasan buatan antara kedua-dua buah negara.
Kemudian, Anwar juga mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan kedua-dua pemimpin membincangkan kaedah untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dan EU serta melibatkan kerjasama serantau.
“Pertemuan itu membuka seluas-luasnya peranan yang boleh dimainkan secara bersama antara Malaysia dan Majlis Eropah dalam mencorak sinergi kepelbagaian budaya, kesatuan dan kebersamaan merentasi benua seluruh dunia.
“Khususnya membentuk persefahaman terkait soal keamanan dan hak asasi manusia membabitkan soal gencatan senjata di Gaza dan Ukraine,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. – KOSMO! ONLINE