KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan menipu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkaitan kursus latihan tidak wujud,
Sathia Seelan P. Arumugam, 52, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Suzana Hussain.
Tertuduh didakwa menipu Perkeso dengan memperdayakan dua pegawai pertubuhan itu untuk mempercayai dokumen yang mengandungi senarai nama kehadiran dan tandatangan peserta bagi tiga kursus latihan bagi sembilan syarikat adalah tulen.
Dokumen itu bagi tiga jenis kursus latihan yang tidak wujud bertarikh 7 Disember 2020 dan 12 Jun 2021.
Perbuatan itu mendorong Perkeso membuat pembayaran berjumlah RM832,000 kepada Global Education Network Sdn. Bhd. milik tertuduh.
Kesalahan dilakukan pada 23 Disember 2020 dan 23 Januari 2021 di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Menara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Perkeso di Putrajaya.
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun berserta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Muhammad Ali mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta mengambil kira kesalahan itu membabitkan wang lebih RM800,000.
“Kami memohon agar syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Pejabat Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela, R. Babu Naidu yang mewakili Sathia memohon jaminan sebanyak RM40,000 atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan terhadapnya.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan, seorang penganggur, R. Nanthagopal, 43, mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan bersubahat dengan Sathia melakukan perbuatan yang sama.
Hakim Rosli Ahmad merekodkan pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Siti Amirah turut mencadangkan jaminan RM100,000 ke atas Nanthagopal berserta syarat tambahan yang sama dengan Sathia Seelan.
Babu Naidu juga memohon jaminan yang sama dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan menghidap penyakit darah tinggi serta jantung.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM60,000 dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 6 dan 19 Mac hadapan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE