KOTA TINGGI – Sembilan termasuk seorang wanita masing-masing dikenakan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah melakukan penipuan kerja tidak wujud atau jobscam ke atas warganegara United Kingdom, minggu lalu.
Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar membuat keputusan itu selepas kesemua tertuduh mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh ialah Lee Kok Hong, 28, Alvin Loh Kar Xuan, 20, Stella Teo Kai Ting, 20, Tristan Wong Yong Jing, 22 Liow Jia Wei, 21, Teng Kai Wen, 20, Ernest Koh Boyuan, 23, Chin Jun Soon, 20 dan Koh Zhi Yu, 24.
Mahkamah turut memerintahkan mereka penjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka adalah pihak kepada suatu pakat jahat jenayah melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu membuat penipuan atas talian dengan tawaran kerja sambilan tidak wujud (jobscam).
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar di sini kira-kira pukul 5 petang, 16 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fang Leong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Hik Tao dan G.Neshaline.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh telah ditahan dalam satu serbuan dilakukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.-KOSMO! ONLINE