JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan menerima tiga laporan terhadap selebriti, Harith Iskander dan pengendali laman sosial Facebook, Cecelia Yap Song KL yang didakwa mempermainkan sentimen agama sebagai jenaka dalam media sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, laporan itu diterima masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara dan Kluang.
Menurutnya, polis melakukan siasatan mengikut peruntukkan undang-undang dibawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana kenyataan dengan niat untuk melukakan perasaan agama dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana kenyataan dengan niat untuk mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.
Mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis Johor mengesahkan menerima tiga laporan dibuat terhadap Harith Iskander dan pengendali facebook Cecelia Yap Song KL yang memuat naik gambar secawan Ham Sap Kopi tiga hari lalu.
“Cecelia Yap Song KL didakwa telah memberikan komen terhadap isu yang diutarakan Harith Iskander dengan mengaitkan nama Mohammad,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, Polis Johor memberi amaran sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen melibatkan 3R iaitu Raja, Agama dan Kaum.
Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi dibawah peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa akan diambil terhadap mana-mana individu yang dengan sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.-KOSMO! ONLINE