KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan 245 sindiket dadah dengan menahan seramai 753 suspek, termasuk 44 anggota daripada 12 fasiliti pemprosesan dadah pada tahun lalu.
Berdasarkan statistik PDRM, rampasan turut melibatkan 68,179 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 63,005 liter dadah jenis cecair dan 15 pokok ganja dengan nilai keseluruhan berjumlah RM388 juta.
Pengerusi Perikatan Keselamatan Komuniti Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha gigih JSJN dalam memerangi ancaman dadah yang disifatkan sebagai ‘musuh nombor satu masyarakat’ perlu diberi pujian.
Katanya, beliau berharap kepakaran Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin perlu diktiraf dalam usaha membanteras jenayah dadah.
“Di bawah kepimpinan Kok Chin, baru-baru ini berjaya membongkar sindiket penyeludupan dadah dan senjata api dari Taiwan. Kejayaan cemerlang ini mendapat pujian meluas.
“Namun, berita mengenai persaraan beliau yang dijadualkan pada Mac ini telah menimbulkan rasa kesal di kalangan masyarakat,” ujarnya.
Menurut Lam Thye, Kok Chin yang dilihat sebagai “Musuh Utama Pengedar Dadah,” bersara mengikut jadual akan menjadi kerugian besar kepada negara.
“Saya sangat menggesa kerajaan untuk menghargai bakat luar biasa ini dengan melanjutkan kontrak perkhidmatannya.
Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melantik Kok Chin ke Suruhanjaya Polis sekiranya lanjutan kontrak tidak dapat dilaksanakan, supaya beliau terus dapat menyumbang kepada PDRM,” jelasnya.
Katanya, sejak Kok Chin dilantik sebagai Pengarah JSJN Mac tahun lalu, beliau telah menerima pengiktirafan di peringkat domestik dan antarabangsa atas pencapaiannya yang cemerlang, termasuk membongkar beberapa sindiket dadah utama dan fasiliti pemprosesan dadah dalam tempoh 10 bulan.
Tambah Lam Thye, salah satu pencapaian tertinggi JSJN adalah pada 16 Januari lalu, apabila Pengarahnya, Khaw Kok Chin, mengetuai operasi besar-besaran di Selangor yang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah Taiwan.
Operasi itu menyaksikan penahanan 12 individu, termasuk 10 lelaki warga Taiwan, seorang lelaki tempatan, dan seorang wanita warga Thailand.
Polis turut merampas dadah bernilai RM118 juta serta senjata api, termasuk 15 pistol, satu ‘Submachine Gun’ (SMG) dan 900 butir peluru.
Lam Thye turut menekankan bahawa walaupun Malaysia mempunyai undang-undang anti-dadah yang tegas termasuk hukuman mati bagi jenayah berkaitan dadah, aktiviti pengedaran terus berleluasa akibat keuntungan lumayan.
“Malaysia berada berhampiran Segitiga Emas, kawasan pengeluaran candu terbesar dunia.
“Ia menjadikan negara kita sasaran strategik bagi sindiket antarabangsa untuk menyeludup dadah melalui laluan darat dan laut,” tambahnya.
Beliau turut menggesa kerajaan memperkukuhkan kawalan di sempadan darat, laut, dan udara, khususnya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. -KOSMO! ONLINE.