KLUANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Kahang dihentikan selepas lima hari kerja-kerja pencarian dilakukan oleh pasukan penyelamat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, operasi itu dihentikan pukul 6 petang semalam selepas gagal menemui mangsa walaupun hampir keseluruhan kawasan dikatakan tempat kehilangan Lee Siew Hat, 73, sudah digeledah.
Katanya, operasi yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin dan sertai 65 pegawai dan anggota telah dijalankan bermula Khamis lalu namun tidak menemui sebarang petunjuk kehadiran mangsa.
“Pelbagai usaha sudah dilakukan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam dengan kerjasama pasukan sahabat terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia Balai Kluang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang serta Bomba Sukarela Kahang.
“Namun semua teknik pencarian termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan tetap tidak membuahkan hasil,”katanya pada program Kesedaran dan Keselamatan semasa Sambutan Tahun Baru Cina, di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun operasi SAR ditutup, usaha pencarian akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan mangsa diterima selain memantau secara berkala oleh anggota Polis di Balai Polis Kahang. – KOSMO! ONLINE