LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melaksanakan eksesais bersama Tentera Laut Perancis (TLP) di Pulau Pinang dan Selat Melaka sempena pelayaran FS Forbin dalam Eksesais La Perouse 2025 antara 13 hingga 18 Januari lalu.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, Eksesais La Perouse 2025 merupakan kerjasama bilateral pertama melibatkan aset TLDM dan TLP selepas kali terakhir dijalankan pada 2021 melalui Passage Exercise (PASSEX) di Selat Melaka.
“Kejayaan ini menunjukkan komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan keupayaan dan kesediaan operasi melalui pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik, serta membina keyakinan dan memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Perancis.
“Selain itu, pelaksanaan Eksesais La Perouse 2025 di Pulau Pinang juga menjadi platform persediaan penting bagi TLDM yang dijadual menganjurkan ASEAN Navy Chief’s Meeting (AMCM), ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX) dan ASEAN Fleet Review di negeri ini pada Ogos hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut berkata, eksesais berkonsep Field Training Exercise (FTX) itu mengambil peluang kehadiran kapal TLP ke perairan Selat Melaka untuk mempromosikan kerjasama Indo-Pasifik bersama negara-negara ASEAN dengan fokus kepada keselamatan maritim di rantau ini.
Katanya, eksesais itu bertujuan untuk meningkatkan keterlibatan dan kesalingoperasian maritim antara TLDM dan TLP di laut, menangani cabaran maritim bersama demi keselamatan maritim serantau dan memperkukuhkan hubungan kerjasama antara TLDM dan TLP.
“Eksesais ini dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa Pelabuhan bermula 13 hingga 15 Januari lalu di Pulau Pinang yang merangkumi perbincangan operasi, lawatan kapal, interaksi sukan dan majlis resepsi rasmi.
“Fasa Laut bermula dari 16 hingga 18 Januari lalu di perairan Selat Melaka pula melibatkan latihan peperangan permukaan dan udara, serta Photo Exercise (PHOTEX),” katanya.
Kenyataan itu berkata, aset-aset TLDM yang terlibat dalam eksesais itu adalah KD Lekir, KD Gagah Samudera, Fast Combat Boat TLDM dan dua pesawat pejuang F/A 18D dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) manakala FS Forbin dan pesawat AS565 Panther digunakan TLP.
Katanya, latihan di laut memberi tumpuan kepada aspek peperangan permukaan dan udara yang bertujuan untuk memperkasakan kemampuan teknikal dan operasi serta meningkatkan kesalingoperasian kedua-dua angkatan laut.
“Sepanjang fasa laut, pelbagai siri latihan seperti Simulated Local Air Defense Exercise (SIMADEX), Air Defense Exercise (ADEX), Surface Firing Exercise (SURFEX), Advance Interdiction and Boarding Exercise (BOARDEX) serta Photo Exercise (PHOTEX) telah dilaksanakan.
“Latihan ini bukan sahaja mempertingkatkan keupayaan taktikal kedua-dua negara, tetapi juga memperkukuhkan kesiapsiagaan aset dan kompetensi anggota TLDM dalam menghadapi senario maritim yang kompleks,” katanya. – KOSMO! ONLINE