KESILAPAN mengatur strategi menjadi faktor utama kekalahan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila tewas kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue di pentas separuh akhir, Terbuka India kelmarin.
Biarpun di atas kertas Tang Jie-Ee Wei dilihat berpeluang cerah untuk melangkah ke pentas final, namun status pilihan ketiga kejohanan bukan jaminan buat mereka melangkah mudah di Terbuka India.
Gandingan terbaik negara itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set 17-21, 15-21 ke atas pasangan bukan pilihan pada kejohanan Jelajah Dunia Super 750 berkenaan.
Ee Wei mengakui bahawa mereka melakukan kesilapan terutama kerap mengangkat pukulan tinggi yang memberikan ruang kepada lawan untuk mengawal serangan.
“Pemain lawan memang berikan kami tekanan sepanjang perlawanan hari ini sehingga menyebabkan kami banyak melakukan pukulan-pukulan tinggi,” kata Ee Wei.
Dalam pada itu, Tang Jie mengakui masalah komunikasi antara mereka turut menjadi punca kepada kekalahan tersebut.
“Kami tidak memilih strategi yang tepat. Ada sedikit salah komunikasi semasa perlawanan, yang menyebabkan kami tidak dapat bertindak dengan pantas.
“Namun, ini bukan masalah besar dan kami akan berbincang serta menganalisis kelemahan untuk persiapan seterusnya,” ujarnya.
Selepas ini, Tang Jie-Ee Wei perlu melakukan persiapan rapi kerana mereka akan menyertai Indonesia Masters yang akan berlangsung dari 21 hingga 26 Januari ini.