SHAH ALAM – Penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-22 dan Para Sukma di Selangor akan berlangsung pada Ogos tahun depan.
Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, pertimbangan pemilihan bulan berkenaan ekoran banyak kejohanan sukan dunia pada tahun sama seperti Piala Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
“Kalau kita lihat kalendar sukan dunia, Piala Dunia akan berlangsung dalam bulan Jun hingga Julai, Sukan Komanwel pada Julai hingga Ogos dan Sukan Asia pula September hingga Oktober.
“Kami takut tidak ramai peminat sukan tempatan yang akan menonton Sukma dan Para Sukma sekiranya dua temasya ini dianjurkan pada waktu yang sama tiga kejohanan sukan itu berlangsung,” katanya.
Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola (Induk) Sukma ke-21 Selangor yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Mohd. Najwan turut mengumumkan sebanyak 28 sukan dan 10 sukan yang akan dipertandingkan pada Sukma dan Para Sukma. – KOSMO! ONLINE