fbpx

‘Ramai keliru tapi Mimi lebih manis, sedangkan saya pahit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GARA_gara berwajah seiras, Mimi dan Reen Rahim jadi sahabat baik sejak sembilan tahun lalu.

PETALING JAYA – Gara-gara berwajah seiras, pelakon Mimi Ernida sering dianggap mempunyai hubungan keluargaan dengan teman seperjuangan, Reen Rahim sehingga ada yang menyangka mereka adik-beradik kembar.

Mimi Ernida atau nama lengkapnya Nor Shamimi Ernida Mansor, 34, berkata bukan perkara mengejutkan apabila orang menyapanya dengan panggilan Reen sehingga dia sudah semakin lali dengan situasi tersebut.

“Ramai yang keliru antara kami berdua. Kalau saya buat siaran langsung di TikTok pun orang memanggil saya dengan nama Reen Rahim.

“Begitu juga komen di video malah di luar, peminat panggil saya Reen ketika mahu bergambar selain ada juga yang mengusik kami sebagai kembar selepas saya kata saya bukan Reen.

“Mungkin asbab wajah seiras menyebabkan kami menjadi teman baik selepas berkawan sejak sembilan tahun lalu,” katanya.

Begitupun, katanya mereka tidak pernah bergandingan dalam mana-mana drama sejak bersahabat bermula tahun 2016.

“Sampai sekarang kami baik walaupun jarang jumpa tetapi tidak pernah berlakon dalam satu naskhah sama. Saya tahu Reen adalah kawan yang selalu ada untuk saya,” ujarnya.

Sementara itu, Reen, 36, juga mengakui ramai orang kerap tersilap antara mereka berdua namun persamaan yang membuatkan persahabatan mereka sangat unik.

“Ramai peminat keliru antara saya dengan Mimi tapi sebenarnya kami berbeza. Mungkin ada beberapa bahagian wajah nampak sama tapi tona kulit Mimi lebih cerah berbanding saya. Mimi lebih manis, sedangkan saya pahit,” selorohnya.

Mengakui selesa berkongsi pelbagai cerita dengan Mimi membuatkannya teruja apabila dapat bergandingan berdua sebagai wajah bagi kempen She Rise.

Kata pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu, kolaborasi istimewa yang bakal dilancarkan pada 31 Januari ini bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada wanita kepentingan menjaga kesihatan dalam dan luaran, selain buka peluang menjana pendapatan.

“Kempen She Rise menggabungkan jenama CYoung Glowing, produk kecantikan pelbagai manfaat daripada Mimi dan Qu’ Yus Premium Coffee iaitu produk organik bagi membantu mengawal selera makan yang diusahakan saya sendiri.

“Memandangkan kami berdua kini sedang berjinak-jinak dalam bidang bisnes, kami mahu membantu wanita di luar sana untuk sama-sama menjana pendapatan.

“Kami mungkin dua individu berbeza, tapi hasrat dan misi kami sama terutama membantu ramai orang terutama golongan wanita,” ujarnya.

Terdahulu perkongsian foto terbaharu kedua-dua pelakon tersebut di TikTok meraih perhatian sehingga mendapat hampir 700,000 tontonan disebabkan wajah seiras. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI