fbpx

PTPK kutip RM234 juta bayaran balik pinjaman tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Eksekutif PTPK, Mohd. Fathullah Mustafa (kiri), dan Rajiv Risyakaran bergambar bersama sebahagian hadiah cabutan bertuah pada Majlis Sidang Akhbar Pengumuman Senarai Akhir Pemenang Cabutan Bertuah Mega 2024, di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berjaya mengutip bayaran balik pinjaman kemahiran bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2024 sebanyak RM234.81 juta atau 78 peratus daripada jumlah penuh RM300 juta.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PTPK, Rajiv Risyakaran berkata, secara perbandingan sehingga 31 Disember 2023, bayaran balik pinjaman yang dikutip sebanyak RM157.29 juta atau 53 peratus daripada jumlah yang patut kutip RM295.24 juta.

“Ini menunjukkan peningkatan 49 peratus kutipan bayaran balik pinjaman bagi 2024 berbanding 2023 yang didorong oleh program promosi bayaran balik yang dilaksanakan PTPK.

“Program ini untuk menghargai peminjam yang membuat bayaran secara konsisten selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan PTPK dalam menyokong pembangunan kemahiran di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sehingga kini terdapat seramai 390,167 peminjam berdaftar di bawah PTPK dan kira-kira 40 peratus daripada jumlah itu masih gagal membuat bayaran balik pinjaman latihan mereka.

Bagi menggalakkan bayaran balik, pelbagai inisiatif dilaksanakan PTPK termasuk kempen promosi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada peminjam.

“Kempen promosi Cabutan Bertuah Mega Tahun 2024 yang berlangsung mulai 1 Ogos hingga 31 Disember 2024 menyaksikan kutipan RM60.43 juta melibatkan 34,610 akaun peminjam.

“Seramai 16 pemenang bertuah disenarai pendek dan pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah Mega Tahun 2024 akan diumumkan secara rasmi semasa Majlis Hari Bertemu Pelanggan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya.

Sebagai pembuka tirai 2025, PTPK sekali lagi melancarkan promosi Cabutan Bertuah sempena Tahun Baharu Cina 2025 bermula 10 hingga 31 Januari dengan tawaran hadiah keseluruhan RM2,200.

“Promosi ini akan memberi peluang kepada peminjam untuk memenangi hadiah menarik berupa baucar barangan elektrik dan elektronik.

“Untuk maklumat lanjut mengenai promosi ini dan cara penyertaan, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi PTPK di www.ptpk.gov.my,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI