SHAH ALAM – Pengasuh taska haram di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat yang disiasat berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan akan didakwa dalam masa terdekat.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak berkuasa pagi tadi.
“Polis hampir selesai untuk melengkapkan kertas siasatan kes terbabit yang mana kes tersebut disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Berapa orang yang polis telah soal siasat itu, saya tiada maklumat,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah dan Apresiasi Wanita Berdaya Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anfaal memaklumkan taska berkenaan kekal ditutup sepenuhnya disebabkan kes terbabit selain tidak mempunyai lesen operasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Malah difahamkan, pengasuh di taska berkenaan tidak pernah menduduki latihan yang telah ditetapkan oleh JKM untuk mereka layak menjadi pengasuh yang bertauliah,” dedahnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut selepas dihantar ke sebuah taska tidak berlesen di Bandar Saujana Putra di sini pada 3 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, siasatan pihaknya mendapati terdapat unsur kecuaian yang dilakukan pihak taska berkenaan dengan enam individu telah diambil keterangan berhubungnya. – KOSMO! ONLINE