JAKARTA – Seorang pegawai kerajaan negeri di Bandung Barat, wilayah Jawa Barat didakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh isterinya yang sering memukulnya sehingga dia mengalami tekanan, lapor portal berita Okezone semalam.
Menurut abang mangsa yang dikenali sebagai Aditya Artha, dia dan keluarganya sebelum ini tidak mengetahui nasib yang menimpa adiknya, Calvin.
Aditya menerusi pendedahan di laman Instagram berkata, selepas berkahwin, adiknya tidak pernah pulang ke rumah ibu bapa mereka dan tidak memberitahu lokasi tempat tinggalnya.
“Mesej keluarga pun tidak dibalas atau hanya dibalas beberapa hari kemudian sedangkan ibu dan bapa selalu bertanya khabar kepadanya,” katanya.
Tambahnya, nombor telefon mereka sekeluarga kemudian disekat sebelum mereka pergi ke pejabat Calvin untuk melihat keadaannya sendiri setelah enam bulan tidak menerima sebarang berita.
Menurut rakan-rakan pejabat Calvin, dia selalu datang ke tempat kerja dengan kesan lebam dan luka, cakaran serta sering lewat masuk ke pejabat.
“Sebenarnya adik saya berada di bawah tekanan dan takut untuk berhubung dengan keluarga,” kata Aditya.
Sementara itu, menurut laman berita Ayo Bandung, Calvin membuat laporan polis selepas didesak oleh keluarganya, namun dia menarik balik laporan itu kelmarin.
Ketua Polis Ciparay, Inspektor Ilmansyah berkata, isteri Calvin mengajak mangsa pulang bersama. – AGENSI